Apple mengumumkan model terbaharu iPad Pro dengan saiz skrinnya yang lebih besar serta mempunyai fungsi dan keupayaan untuk menggantikan komputer riba.
Ketua Eksekutifnya, Tim Cook, ketika berucap pada majlis bersama media di San Francisco, menganggap pengenalan peranti terbaharu itu sebagai berita terbesar iPad sejak produk terbabit diperkenalkan.
Tablet baharu itu memiliki paparan 12.9 inci (32.7 sentimeter) serta pilihan papan kekunci boleh tanggal dan Apple Pencil.
Naib Presiden Kanan Apple, Phil Schiller, berkata iPad Pro mempunyai prestasi 'kelas komputer peribadi' dan beroperasi 80 peratus lebih pantas berbanding komputer peribadi mudah alih yang dikeluar dalam tempoh 12 bulan lalu.
IPad baharu itu akan mula dipasarkan pada November ini bermula dari AS$799 (RM3,490), dengan pilihan papan kekunci pada harga AS$169 (RM740). "
Ia nipis dan ringan, cukup untuk bekerja sepanjang hari dan digunakan mana-mana," kata Schiller.
IPad Pro ini turut dilengkapi stylus yang dipanggil Apple Pencil, biarpun komen pengasas bersama Apple, Steve Jobs sebelum ini ada menyatakan bahawa pengguna tidak berminat dengan apa-apa aksesori tambahan.
Cook berkata, beliau menjangka bahawa tablet baharu ini menawarkan segala kemungkinan untuk tugasan komputer seperti iPad sebelum ini.
iPad Pro mempunyai hayat bateri 10 jam dan skrin 'forcetouch' yang akan bertindak balas kepada tekanan.
Pada majlis sama juga, iPad turut memperkenalkan Apple TV terbaharu yang dilengkapi carian suara Siri, skrin sentuh kawalan jauh dan Apple App Store. "
Visi kami untuk TV adalah mudah, dan mungkin provokatif sedikit. Kami percaya masa depan televisyen adalah aplikasi," kata Cook.
Apple TV baharu ini akan dilancarkan pada akhir Oktober dengan harga AS$149 (RM650).
0 Response to "Apple umum iPad Pro, Apple TV baharu"
Post a Comment